PANTAU PASAR RAMADHAN


Setiap tahun kita sering menerima aduan dan rungutan dari pengguna mengenai kenaikan harga makanan dan isu kebersihan dan kesihatan di gerai-gerai Pasar Ramadhan. Isu kenaikan harga terutamanya kueh mueh sudah tentu menjadi tumpuan utama pengguna kerana kesan dari kenaikan harga gula baru-baru ini. Disamping itu, peniaga setengahnya tidak meletakkan tanda harga dan ini nyata telah menyalahi undang-undang. Lebih penting juga adalah tahap kebersihan sekitar Pasar Ramadhan yang mana perlu kita pastikan setiap Pasar Ramadhan tidak tercemar dari sampah sarap dan mempunyai kemudahan asas seperti tong sampah dan bekalan air paip. Pasar Ramadhan tidak sepatutnya dicemari dengan debu dan lalat. Keadaan ini akan menyebabkan keracunan makanan dan boleh membahayakan pengguna. Tahap kesihatan pengendali makanan dan pembantunya di gerai-gerai Pasar Ramadhan perlu kita pastikan mereka mempunyai kad kesihatan dan mereka telah disuntik.

Justeru itu, CAPs bersama YB.Datuk Rohani, Timbalan Menteri KPDNKK, Pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Ahli Gerakan Pengguna Daerah, Pegawai-pegawai Kesihatan MBPJ dan wakil media akan melakukan pemantauan ini di kawasan Pasar Ramadhan di Petaling Jaya pada awal puasa ini yang dijangka pada minggu pertama puasa.

GIMIK PERSATUAN PENIAGA


Persatuan Peniaga dan Persatuan Pengeluar Makanan memberi jaminan harga barangan makanan tidak akan naik berikutan kenaikan harga gula baru-baru ini. Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (CAPs) tidak yakin kenyataan jaminan ini benar harga barangan tidak akan naik. Ini terbukti masih ramai peniaga gerai makanan, restoran, penjaja pasar malam, penjaja gerai Ramadhan yang baru wujud, pengeluar makanan masih tidak menjadi ahli persatuan di negara ini. Menurut mereka, ”itu adalah janji persatuan, kami bukan ahli persatuan” Walaupun mereka ahli persatuan, pengalaman tahun-tahun lalu, mereka tidak menghiraukan kenyataan pemimpin persatuan mereka. Janganlah pemimpin persatuan peniaga dan pengeluar makanan bercakap sekadar gimik nak tunjuk kepada Menteri bahawa mereka tidak mendatangkan masalah kepada pengguna. Bolehkah persatuan peniaga dan pengeluar makanan buktikan tiada kenaikan musim perayaan ini? Apakah langkah telah diambil oleh persatuan untuk mempastikan ahli-ahlinya mematuhi jaminan tersebut? Seramai manakah dari 50,000 ahli tersebut sedar dan komited terhadap jaminan ini?

Pihak KPDNKK khasnya YB.Menteri tidak seharusnya ’bulat-bulat’ percaya dan terpengaruh dengan kenyataan jaminan tersebut. KPDNKK perlu berfikiran waras dan melakukan tindakan susulan dengan persatuan peniaga dan pengeluar makanan supaya persatuan dapat membuktikan ahli-ahlinya tidak menaikkan harga barang. Jika ada kenaikan dilakukan oleh ahlinya, pecat ahli tersebut dari persatuan, bolehkah persatuan berkata begitu?. CAPs mencabar Pemimpin Persatuan Peniaga dan Pengeluar Makanan supaya turun padang pada bulan Ramadhan ini ke setiap negeri dan pelusok supaya dapat pastikan kenaikkan harga barangan makanan tidak naik. CAPs percaya pihak KPDNKK akan dan sedang melakukan pemantauan dan pemeriksaan mingguan, tetapi adalah lebih baik jika pemimpin persatuan peniaga dan pengeluar makanan itu pergi bersama dan buktikan jaminan mereka. Kepada para pengguna, CAPs menyeru supaya jika anda dapati ada kenaikan barangan, simpan resit belian, catat nama dan alamat premis, catat lokasi peniaga dan terus laporkan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) 03-78779000 email: nccc@nccc.org.my. Lebih berkesan lagi, jangan beli barangan tersebut, kita guna kuasa pengguna sebagaimana slogan yang dilaungkan ’ 1 Pengguna 1 Suara” untuk memboikot.

JANGAN TERPEDAYA DENGAN IKLAN COURTS MAMMOTH



Aidil Fitri menjelang tiba, sudah tentu anda mula fikir barang apa nak tukar kat rumah, kalau kita tengok di akhbar sekarang ni, iklan macam-macam cuba memperdayakan kita supaya berbelanja lebih dengan barang baru. Iklan Courts Mammoth nampaknya menonjolkan tawaran melampau yang mana pengguna kalau tak fikir panjang, terus terpengaruh dengan iklannya sekarang " tak perlu bayar 90 hari'' tapi lepas raya nanti anda menanggung hutang yang tak habis. Fikir-fikirlah sewarasnya kemampuan pendapatan dan komitmen perbelanjaan bulanan kita. Bersederhanalah dalam perbelanjaan. Jangan terpengaruh sangat dengan iklan "Courts Maut" ni, akhirnya nanti kalau anda gagal bayar tiga bulan, dia hantar surat ugut dari peguam nak bawa anda ke mahkamah, jangan cari pasal!!!

GULA DAN PETROL NAIK LAGI!

Kerajaan semalam, mengumumkan subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) serta gula, dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa hari ini.ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter manakala LPG RM1.85 sekilogram. “RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Bagi gula, pelarasan harga 25 sen sekilogram.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010.

JENAYAH TARIK KERETA BERLUASA

JENAYAH membabitkan kumpulan penarik kereta, tonto dan along semakin menjadi-jadi. Walaupun terdapat penguatkuasaan undang-undang dilakukan, namun kegiatan mereka masih gagal dibanteras. Mereka sanggup melakukan apa saja, termasuk kekasaran dan jenayah demi wang. Tindakan mereka jelas mencabar undang-undang, termasuk menghalang tugas penguat kuasa selepas dibayar habuan oleh tauke sindiket terbabit. Siapakah mereka dan kenapa mereka berani mencabar anggota penguat kuasa termasuk petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kastam dan imigresen, selain penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mahupun pihak berkuasa tempatan.

SUSPEK DENGGI PERLU MASUK WAD.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, meminta doktor supaya tidak menghantar pulang mereka yang disyaki dijangkiti demam denggi tetapi mereka ini perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad hospital. Beliau berkata, beliau menerima aduan bahawa terdapat mereka yang disyaki menghidap denggi diminta untuk pulang dahulu ke rumah, sementara menunggu hasil ujian yang dilakukan ke atas suspek. “Saya melihat sejumlah kes di mana pesakit denggi mati di hospital selepas sehari, dua tiga hari dimasukkan ke wad. Saya mahu mereka (doktor) melihat kepada kes kematian, bagaimana mahu mengurangkan kematian. “Selepas kita memasukkan mereka (suspek pesakit) di wad, ia mudah untuk dipantau. Selain itu, pemantauan perlu dilakukan secara kerap dan berkesan, setiap empat jam. “Jangan hantar suspek pesakit denggi balik,” katanya.

SEMINAR KEPENGGUNAAN KOMUNITI BISTARI





Penulis Blog selaku Pengerusi Gerakan Pengguna Petaling Jaya menyampaikan ucapan aluan di Seminar Kepenggunaan Komuniti Bistari pada 10hb July 2010. Seminar telah dihadiri seramai 150 orang peserta yang terdiri dari wakil-wakil NGO, Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta wakil dari Jabatan Kerajaan sekitar Petaling Jaya. Seminar ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Pengguna Petaling Jaya, KPDNKK, Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (CAPs) serta Unit Local Agenda 21 MBPJ.