PANTAU PASAR RAMADHAN


BERITA HARIAN 23 OGOS 2010
Ismail Abdul Aziz, Pengerusi Gerakan Pengguna Petaling Jaya melakukan pemantauan harga di Pasar Ramadan SS6/1 Petaling Jaya.

BIJAK GUNA KUASA PEMBELI

Bijak guna kuasa pembeli
Oleh ROHANA MANrohana.man@utusan.com.my

SETIAP kali bermulanya ibadah puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, tidak putus-putus kita akan mendengar keluhan pengguna khususnya suri rumah yang 'makan hati' apabila harga barangan keperluan dapur meningkat berbanding dengan bulan-bulan biasa. Bukan itu sahaja, harga jualan di bazar Ramadan juga tidak kurang hebatnya. Jika tidak pun, makanan yang dijual dikecilkan saiznya sehingga tidak berbaloi dengan harga yang dibayar.
Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji bahawa tiada kenaikan harga barangan menjelang musim perayaan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Buktinya, baru sehari Ramadan tiba, harga barangan di kedai-kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur didapati lebih mahal daripada hari-hari biasa. Penulis terkejut apabila mendapati harga beberapa gram bawang kecil yang dibeli di sebuah kedai runcit di Taman Ukay Perdana, Ampang lebih mahal daripada hari biasa. Memandangkan sudah hampir tujuh tahun penulis membeli barangan keperluan runcit di kedai tersebut, maka sebarang perubahan harga dapat dikesan dengan mudah.
Misalnya, sekeping belacan yang biasa dibeli pada harga RM1.30, kini meningkat kepada RM1.50. Nampaknya para peniaga tidak peduli dengan peringatan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.
Ingatan itu bukan sahaja diberi oleh menteri berkaitan, malah pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akhbar ini semalam turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga barang dan makanan pada bulan Ramadan.
Mengulas perkara tersebut, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna dan Sosial Petaling (CAPs), Ismail Abdul Aziz berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan terhadap harga barangan kawalan diperluaskan meliputi barangan lain yang tidak kurang pentingnya kepada pengguna.
Menurutnya, banyak barangan yang tidak termasuk di dalam senarai barangan kawalan seperti susu pekat manis, milo, margerin, barangan membuat kuih raya dan lain-lain meningkat harganya pada bulan Ramadan.
"Mengikut pemerhatian CAPs, kenaikan harga barangan tersebut berlaku setiap kali musim perayaan.
"Apa yang kita mampu lakukan hanyalah menasihati pengguna supaya berjimat dan membuat perbandingan harga sebelum membeli," katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, katanya, setakat mana pengguna mahu membuat perbandingan harga kerana ia satu kerja leceh yang memaksa mereka pergi dari satu tempat ke satu tempat lain.
"Ini membuatkan kerja-kerja membandingkan harga menjadi tidak berkesan terutama bagi pengguna yang sentiasa sibuk mengejar masa bagi memenuhi tuntutan kerjaya dan keluarga.
"Apa yang berlaku, mereka akhirnya akan membeli di sebuah pasar raya atau kedai runcit sahaja walaupun menyedari terdapat peningkatan harga yang ketara," tambahnya.
Justeru, katanya, nasihat supaya pengguna membuat perbandingan harga sekadar tinggal nasihat sahaja kerana ia sebenarnya tidak dilakukan oleh mereka.
Selain itu, Ismail yang juga ahli majlis dalam Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendakwa penguatkuasaan yang dilakukan oleh KPDNKK bagi memastikan harga kawalan dipatuhi oleh pemborong, pembekal, pengedar, peruncit dan peniaga masih longgar, dan perlu diperkukuhkan.
"Penguatkuasaan dan tindakan amat longgar sehinggakan golongan tersebut tidak takut untuk mengulangi perbuatan menaikkan harga sesuka hati," katanya.
Memandangkan itu, katanya, pengguna perlu bijak menggunakan kuasa pembeli dengan menangguhkan pembelian barangan untuk seketika.
"Jika barang yang mahu dibeli itu masih ada di rumah walaupun tinggal sedikit, jangan beli lagi barang itu. Tangguh dulu dan jika ramai pengguna mempraktikkan perkara ini, saya yakin kemenangan akan memihak kepada pengguna," ujarnya.



Kementerian Kesihatan mengesan lebih 50 produk makanan dan minuman kesihatan tambahan serta ubat-ubatan tradisional mengandungi racun berjadual, termasuk bahan aktif perangsang seks yang turut menggunakan selebriti terkenal untuk mempromosikan produk berkenaan.


Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang amat bimbang dengan keadaan ini berkata, setakat ini amaran dan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk merampas ubat-ubatan dan makanan kesihatan itu tidak langsung memberi kesan. Katanya, bahan aktif perangsang seks seperti sildenafil, tadalafil dan verdanafil yang digunakan untuk rawatan ‘erectile dysfunction’ (mati pucuk) hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen. Ubat yang tidak berdaftar dengan kementerian ini selalunya dicampur dengan racun berjadual yang boleh memberi kesan berbahaya termasuk serangan jantung, strok, pendarahan otak dan kehilangan daya penglihatan dan pendengaran.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses menyemak semula lima akta di bawah perkhidmatan farmasi bagi mengawal pengeluaran produk farmaseutikal dan produk makanan atau minuman yang mempunyai campuran dadah dan bahan beracun.Lima akta itu merangkumi Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (disemak 1989), Akta Racun 1952 (disemak 1989), Akta Jualan Dadah 1952 (disemak 1989), Akta Dadah Berbahaya 1952 (disemak 1980) dan Akta Ubat 1956 (Iklan dan Penjualan) yang disemak pada tahun 1983.