TINDAKAN SYABAS MEMOTONG BEKALAN AIR BERAKHIR DENGAN KEMATIAN SEORANG PENDUDUK















Syarikat Bekalan Air Selangor (SAYABAS) telah memotong bekalan air kepada penduduk di Flat Kos Rendah Petaling Utama,Jln.PJS 1/52 pada 24hb.Jun 2008 kira-kira jam 11.pagi dan berlarutan hingga empat hari empat malam. Berikutan kesusahan mendapatkan air yang dibekalkan sementara, seorang penduduk Govindasamy berumur lingkungan 40an yang cacat anggota menghidapi polio kepenatan dan sakit dada lalu meninggal dunia dirumahnya disebabkan terlalu penat ulang alik mengangkut air. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak yang masih kecil.

Seramai 3,000 orang penduduk yang berpendapatan rendah telah membantah tindakan pemotongan ini. Disebabkan hanya 30% daripada jumlah penduduk tidak menjelaskan bil kepada pemaju (meter pukal) maka adalah tidak wajar pihak SYABAS mengambil 'shortcut' menganiyai pengguna dan tidak mengenakan tindakan undang kepada pemaju. Rata-rata pengguna yang membayar bil mengatakan "SYABAS tidak adil dan melaksanakan tindakan mengikut nafsu syaitan" kata En.Uthaya Kumar,Pengerusi Kaw.Rukun Tetangga Flat Petaling Utama.
Satu Jawatankuasa Bertindak Membantah Tindakan SYABAS telah ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian. NGO yang bergabung dalam Jawatankuasa ini ialah Persatuan Penduduk-Penduduk dan Kebajikan Flat Petaling Utama, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petaling Utama, MIC Cawangan PJS 1/52 dan Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (CAPs). Jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh En.Ismail Aziz (Penulis Blog) telah mengadakan satu sesi dialog bersama pihak Kerajaan Negeri, SYABAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 26 hb.Jun 2008 jam 6.00 petang. Hadir di sesi dialog ini ialah YB Hee Loy Sian,Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, YB.Kassim Aziz, Pegawai Khas YB ADUN Tmn Medan, Pegawai-pegawai dari SPAN dan Pegawai SYABAS Cawangan Petaling serta pemimpin-pemimpin tempatan. Seramai dianggarkan lebih 100 orang ajk dan ketua Blok hadir.

Sesi dialog ini telah merumuskan keputusan berikut:-
* Persatuan Penduduk memberi jaminan untuk mempastikan pengguna yang tidak menjelaskan bil membuat bayaran dalam tempoh 2 minggu dan secara beransur-ansur kepada mereka yang mempunyai tunggakkan yang tinggi. Persatuan juga akan berusaha untuk menyatukan penduduk supaya pelaksanaan pembayaran bil tunggakkan dapat dijelaskan kepada pemaju (Peters Brickworks).
* YB Hee Loy Sian, memberi jaminan bahawa beliau akan memohon kepada YB Menteri Besar Selangor supaya penduduk mempunyai meter individu secepat mungkin.

* YB Kassim Aziz memberi jaminan supaya penduduk akan menikmati bil percuma setelah meter individu dipasang.
* En.Asraf dari SPAN akan mempastikan dan bekerjasama dengan pihak SYABAS bagi melaksanakan sistem migrasi ini (pemindahan kepada meter individu).
* En.Ismail Aziz, Pengerusi J/K Bertindak menggesa pihak pemaju supaya menyelesaikan segala masalah berkaitan 'maintenance' (lif rosak, lampu koridor tidak bernyala, bangunan tiada wayar bumi, pili bomba rosak, button lif rosak, tong sampah tidak mengcukupi dan pampasan RM7 ribu kepada pembeli ground floor perlu dijelaskan segera kepada 30 orang pembeli terlibat).

Berikutan dengan memorandum bantahan dihantar pada 24 Jun kepada pelbagai pihak termasuk kepada PM,TPM,Menteri KTAK, Pengerusi SPAN, Pengerusi SYABAS, Presiden FOMCA, SUHAKAM, Pemaju,Dato'Bandar MBPJ, wakil rakyat dan Ahli Parlimen, En.Haleem Mat Som Pengarah Eksekutif Komunikasi dan Koporat SYABAS telah menghubungi En.Ismail Aziz pada petang 26 Jun dan menyatakan pihak pemaju (Peters Brickwork) telah membuat bayaran RM50 ribu ringgit kepada SYABAS dan akan menjelaskan baki hutang RM 10 ribu setiap bulan. Bekalan air disambung semula kira-kira jam 5.00 petang pada 26 Jun 2008 iaitu sejam sebelum majlis dialog diadakan.

SMS TIPU - LAPOR SEGERA KEPADA MyCERT




Orang ramai yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan tawaran hadiah lumayan diminta melaporkan segera ke Jabatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Malaysia (MyCERT) di talian 03-89926969 atau SMS 019-2813801.

AIR PERCUMA SELANGOR MULA 1 JUN



Pemberian air percuma 20 meter padu kepada penduduk Selangor berkuatkuasa 1 Jun, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan, berkata pemberian air percuma itu hanya mengambil kira penggunaan air bermula Jun dan dinikmati oleh pengguna air yang mempunyai meter individu sahaja.
Pengguna air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak termasuk dalam program pemberian air percuma itu. Ruslan berkata pembiayaan air percuma itu tidak termasuk pembayaran bagi pemotongan dan penyambungan bekalan air, penamatan bekalan air akaun yang telah ditutup atau penyesuaian debit bagi penggunaan air secara tidak sah. Katanya pemberian air percuma ini untuk kegunaan sehingga 20 meter padu satu-satu bulan sahaja dan jika kegunaan air untuk sesuatu bulan adalah kurang daripada 20 meter padu, jumlah baki meter padu yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke hadapan bagi dimuatkan ke dalam tempoh bil seterusnya.

JANGAN MAKAN IKAN BUNTAL











Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai tidak membeli atau memakan ikan buntal berikutan enam kes keracunan makanan akibat memakan telur atau isi ikan itu yang dilaporkan sejak dua bulan lalu. Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata dua daripada 36 mangsa berkenaan meninggal dunia dalam kejadian berasingan di Johor Bahru, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kulai dan Pontian.
“Ikan buntal mempunyai racun semulajadi iaitu tetradoxin yang terdapat banyak dalam hati, ovari dan usus ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Didikan Pengguna Di Radio


Penulis blog sedang ditemubual oleh Juruhebah RMKL mengenai isu pengguna. Gambar dari liputan akhbar Sin Chew Jit Poh.

Penulis Blog menghadiri 'Journalism Workshop' di Philippines.




Penulis blog telah menghadiri 'Journalism Workshop' di South East Asia Rural Social Leadership Institute, Xavier University, Cagayan de Oro City, Philippine.


PENULIS BLOG DI NTV 7


Penulis blog membicarakan isu pengguna di NTV 7

MELAWAN MAKANAN RINGAN












Saya masih ingat lagi pada awal 1980-an, semasa saya berkhidmat sepenuh masa di Persatuan Pengguna Pahang (PAC), Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS), Persatuan Pengguna Selangor & Wilayah Persekutuan juga semasa berkhidmat di Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), topik ceramah yang sering saya sampaikan dan mendapat pula perhatian ialah tentang bahaya makanan ringan dan pengaruh iklan. Setiap minggu aktiviti ceramah kesedaran ini sering kami adakan dan diundang oleh penganjur di semua pelosok termasuk di felda-felda, kampung-kampung, sekolah dan seminar-seminar di peringkat daerah dan negeri. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) semenjak 30 tahun yang lampau turut membawa isu ini.
Ketika itu, isu memohon pengharaman iklan makanan ringan di TV tidak mendapat kesan tindakan positif daripada pihak Kementerian Penerangan. Pada tahun 1986, pernah Menteri Penerangan ketika itu Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberi jaminan kepada anggota MBM yang berjumpa beliau di Angkasapuri supaya semua iklan makanan ringan (junk food) diharamkan di televisyen. Namun jaminan itu hingga hari ini masih tidak dilaksanakan secara berkesan kerana pihak Kementerian Penerangan ketika itu merasakan kerugian besar hasil sumbangan syarikat terhadap penyiaran iklan tersebut. Persoalannya sekarang bukanlah masanya untuk membuang masa lagi bagi mendengar alasan pihak pengeluar dan pengilang makanan ringan yang dirasakan mereka akan hilang pendapatan dan sudah tentu mereka akan mengaitkan kesan terhadap penyumbang ekonomi negara dan berkemungkinan akan mengaitkan pemberhentian pekerja sektor industri makanan ringan.

Menteri Kesihatan dan Menteri Penerangan sekarang perlu duduk semeja untuk bertindak semula mengkaji iklan makanan ringan di media elektronik dan akhbar supaya pengharaman iklan ini benar-benar dilaksanakan kerana memikirkan tahap kesihatan 26 juta rakyat Malaysia dan bukannya lagi untuk memikirkan kehilangan perolehan RM100 juta setahun daripada iklan makanan ringan.

Sebanyak 200 jenis makanan segera seperti mi segera, minuman bergas, gula-gula , coklat dan burger dilaporkan menjadi punca pelbagai penyakit kritikal di Malaysia tidak harus dipandang remeh kerana ia boleh dikatakan adalah pembunuh nombor dua selepas dadah. Keselamatan makanan snek atau ringan ini amat diragui. Kajian-kajian yang dibuat oleh organisasi kesihatan dan pergerakan pengguna antarabangsa menunjukkan masih banyak jenis dan jenama makanan segera mengandungi pelbagai bahan yang membahayakan pemakannya. Di negara kita, banyak pewarna berbahaya yang diharamkan oleh kerajaan masih digunakan dalam pengeluaran makanan snek. Pewarna-pewarna berbahaya yang sering digunakan dalam makanan segera termasuklah Blue VRS (disyaki menyebabkan barah, lelah, muntah-muntah dan alergi) Orange GGN (disyaki menyebabkan barah) Ponceau 4R (disyaki menyebabkan barah, bengkak tisu, alergi dan lelah) Amaranth (disyaki menyebabkan barah, lahir cacat dan lahir mati) Green S (disyaki menyebabkan barah). Banyak juga makanan snek mengandungi bahan perasa yang tinggi dan ada juga yang keselamatannya masih dipersoalkan seperti perasa monosodium glutamate (MSG-Ajinomoto) yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Negara kita sekarang ini dilanda “budaya snek”. Ini berlaku kerana kemajuan agresif melalui iklan-iklan dari syarikat-syarikat pengeluar snek dan minuman ringan. Ini juga berlaku kerana para pengguna terlalu sibuk mengejar aktiviti kehidupan seharian tanpa mempedulikan makanan mereka. Kebanyakan mereka telah disogok oleh iklan yang berpendapat lebih cepat atau ringkas makanan berkenaan, maka lebih baik lagi. Ibu bapa pula membiarkan anak-anak mereka dipengaruhi oleh iklan-iklan makanan snek dan minuman ringan sehingga tidak dapat mengawal tabiat makanan mereka.
Kesan negatif makanan snek dan minuman ringan semakin dirasai. Pelbagai penyakit telah dikaitkan dengan makanan dan minuman ringan seperti peningkatan penyakit barah, kencing manis dan kerosakan gigi . Malah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah melaporkan bahawa makanan snek dan minuman ringan menjejaskan kesihatan pengguna terutamanya rakyat negara-negara membangun. UNICEF membuat kesimpulan ini berdasarkan kematian 65,000 kanak-kanak di negara-negara Teluk Parsi yang berumur lima tahun ke bawah pada tahun 1985 akibat kaedah kelahiran anak yang tidak bersih, cirit-birit dan salah khasiat. Negara kita sekarang amat serius mengalami peningkatan kadar penyakit berpunca daripada makanan akibat berleluasanya tabiat suka menikmati makanan dan minuman ringan ini. Oleh itu, sudah sampai masanya bagi kerajaan dan semua anggota Kabinet bertindak bersama bagi menyelesaikan masalah ini.

Saya mencadangkan supaya langkah-langkah berikut diambil perhatian untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan makanan snek dan minuman ringan;
1) Mengharamkan semua bentuk iklan makanan snek dan minuman ringan di media elektronik dan media cetak.
2) Mengharamkan semua taktik jualan memberi hadiah percuma bagi melariskan jualan makanan snek.
3) Mewajibkan maklumat yang lebih lengkap pada label-label makanan snek.
4) Menguatkuasakan peraturan jualan makanan ringan di luar pagar sekolah.
5) Mengawal kilang-kilang yang mengeluarkan makanan snek dengan rapi untuk memastikan kilang-kilang itu mematuhi undang-undang yang digubal bagi melindungi kepentingan pengguna.
6) Mewujudkan piawaian makanan ringan melalui SIRIM dan Jabatan Standards Malaysia (DSM)
7) Mewujudkan dasar piawaian makanan ringan dalam Dasar Makanan Negara.
8) Mewujudkan satu garis panduan pemakanan kebangsaan bagi memastikan rakyat Malaysia bijak membuat pemilihan makanan.
9) KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan serta PBT wujudkan satu koordinasi bagi menguatkuasakan undang-undang makanan dengan lebih berkesan.
10) Mengharamkan pemberian sampel percuma makanan snek dan minuman ringan di sekolah-sekolah serta tadika.
11) Mengharamkan penajaan berupa makanan snek dan minuman ringan di semua majlis, sukan, berupa hadiah di sekolah-sekolah, tadika, IPT serta di semua program komuniti.



Sementara itu, semua pihak harus memainkan peranan menentang gejala makanan ringan ini kerana sudah nyata ia merupakan gejala makanan yang tidak seimbang yang membawa maut.

Pengguna Perlu Ubah Gaya Hidup





Hari ini masyarakat pengguna khususnya mereka dari golongan masyarakat berpendapatan rendah atau rakyat miskin bandar "urban poor " amat merasai kesan peningkatan sara hidup disebabkan kesan dari kenaikkan harga minyak, kenaikkan harga beras dan barangan keperluan makanan utama yang lain serta kenaikkan kos perkhidmatan pengangkutan semakin memuncak dan membebankan pengguna. Ditambah lagi kenaikkan semula harga ayam di pasaran runcit. Tibalah masanya sekarang untuk kita sebagai pengguna melakukan langkah drastik mengubah cara dan budaya serta tabiat kehidupan harian kita khususnya melibatkan aktiviti perbelanjaan harian bagi menangani fenomena ini.

Dari dulu lagi kita masyarakat pengguna sering dikaitkan dengan budaya boros, berbelanja berlebihan di luar kemampuan serta mengikut keinginan nafsu dan bukannya mementingkan keperluan sebenar. Ini adalah disebabkan berpunca dari pengaruh materialisma, keinginan penonjolan diri, mementingkan status, budaya berhutang penggunaan kad kredit serta kelemahan diri dalam mengawal nafsu berbelanja disamping itu kita tidak merancang ekonomi perbelanjaan bulanan. Tidak lama lagi kakitangan awam akan menikmati gaji dua kali sebulan, langkah ini bukanlah sebenarnya menguntungkan tetapi sebaliknya lebih merugikan mereka kakitangan awam kerana sudah menjadi lumrah apabila mendapat gaji sukar untuk menyimpan dan terus berbelanja tanpa perancangan. Sudah tentu kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana akan menunggu gaji yang kedua untuk melangsaikan hutang, akhirnya baki gaji yang ada tidak mengcukupi untuk membayar hutang, kesannya nanti bolehlah kita lihat banyak pula kereta dan motorsikal kena tarik, rumah dilelong, pinjam wang dengan along akan berluasa kembali, hutang kad kredit meningkat. Wajarlah semua kementerian sekarang ini mewujudkan model atau contoh dikalangan kakitangan yang mengamalkan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan yang berhemah. Didikan kesedaran berbelanja berhemah perlu disampaikan melalui sesi-sesi ceramah, dialog dan forum di peringkat kementerian dan jabatan. Aktiviti ini boleh dilaksanakan oleh kelab atau pun badan-badan kebajikan di kementerian atau jabatan berkenaan. Bagi diperingkat kelompok komuniti pula, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui kerjasama dengan Persatuan-persatuan Pengguna serta JKKK dan lain-lain NGO perlu mempertingkatkan usaha untuk menyedarkan masyarakat melalui aktiviti ceramah dan majlis-majlis dialog dalam kumpulan masyarakat itu sendiri.

Harga baru petrol, diesel membebankan! Sewa lori naik harga. Petronas beri alasan.



Kaji semula harga baru petrol dan diesel yang masing-masing naik 78 sen dan RM1 seliter kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya.Para pengusaha lori telah menaikkan kadar sewa lori sebanyak 35 peratus berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel.Kesannya harga bahan makanan dipasaran runcit meningkat ditambah dengan kos kenaikan sedia ada oleh pengilang.

Kos penghantaran ke luarbandar turut dirasai oleh pengguna berpendapatan rendah.Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sejak tiga tahun lalu, kos Petronas meningkat lebih 200 peratus .Mohd. Hassan menjelaskan: ‘‘Petronas kini terpaksa menerokai telaga-telaga minyak kecil yang memberikan hasil lima atau 10 juta tong dan bukan lagi telaga-telaga yang menghasilkan 100 juta tong seperti satu ketika dahulu.’’Beliau berkata, kos untuk melakukan pengerudian telaga minyak di kawasan cetek kini mencecah AS$7 juta berbanding AS$3 juta sebelumnya dengan kos berkaitan carigali seperti penyewaan kapal terus meningkat.Di pihak kerajaan pula akan memperoleh penjimatan sebanyak RM13.7 bilion hasil penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengeluar minyak kelapa sawit negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Akta manipulasi harga digubal



Kerajaan akan menggubal Akta Amalan Perdagangan Adil tahun ini bagi mengatasi masalah manipulasi dalam pasaran domestik dan menggalakkan persaingan sihat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad. Beliau berkata, akta itu akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat pakatan dalam menentukan harga, mengambil keuntungan dengan sewenang-wenangnya dan menjalankan perniagaan secara manipulasi dan tidak beretika. Katanya, rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini.

Dunia risau isu makanan



Kenaikan harga makanan memberi kesan buruk kepada negara miskin dan sepanjang tahun ini, 37 negara termasuk Cameroon, Nigeria, Mesir dan Haiti dilanda rusuhan penduduk yang tertekan akibat krisis itu. Pengarah Urusan FAO, Hafez Ghanem, berkata makanan bukan lagi komoditi murah seperti dulu kerana harga makanan meningkat dan terikat di tahap lebih teruk berbanding tahap yang tidak dapat diterima sehingga menyebabkan 854 juta penduduk menderita. "Kita menghadapi risiko di mana jumlah mereka yang kebuluran akan meningkat sehingga beberapa juta penduduk lagi,"Britain akan menggesa dana kecemasan diwujudkan bagi membiayai benih dan baja kepada petani negara membangun mengusahakan tanaman untuk musim tuaian akan datang. Perdana Menteri, Gordon Brown juga mempertikaikan perjanjian WTO mengenai halangan perdagangan di Geneva akan menyebabkan kawalan harga makanan menjadi lebih kritikal selain sokongan terhadap petani di negara miskin perlu diberikan dengan menyediakan pasaran eksport terhadap hasil keluaran mereka.