Hari ini masyarakat pengguna khususnya mereka dari golongan masyarakat berpendapatan rendah atau rakyat miskin bandar "urban poor " amat merasai kesan peningkatan sara hidup disebabkan kesan dari kenaikkan harga minyak, kenaikkan harga beras dan barangan keperluan makanan utama yang lain serta kenaikkan kos perkhidmatan pengangkutan semakin memuncak dan membebankan pengguna. Ditambah lagi kenaikkan semula harga ayam di pasaran runcit. Tibalah masanya sekarang untuk kita sebagai pengguna melakukan langkah drastik mengubah cara dan budaya serta tabiat kehidupan harian kita khususnya melibatkan aktiviti perbelanjaan harian bagi menangani fenomena ini.
Dari dulu lagi kita masyarakat pengguna sering dikaitkan dengan budaya boros, berbelanja berlebihan di luar kemampuan serta mengikut keinginan nafsu dan bukannya mementingkan keperluan sebenar. Ini adalah disebabkan berpunca dari pengaruh materialisma, keinginan penonjolan diri, mementingkan status, budaya berhutang penggunaan kad kredit serta kelemahan diri dalam mengawal nafsu berbelanja disamping itu kita tidak merancang ekonomi perbelanjaan bulanan. Tidak lama lagi kakitangan awam akan menikmati gaji dua kali sebulan, langkah ini bukanlah sebenarnya menguntungkan tetapi sebaliknya lebih merugikan mereka kakitangan awam kerana sudah menjadi lumrah apabila mendapat gaji sukar untuk menyimpan dan terus berbelanja tanpa perancangan. Sudah tentu kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana akan menunggu gaji yang kedua untuk melangsaikan hutang, akhirnya baki gaji yang ada tidak mengcukupi untuk membayar hutang, kesannya nanti bolehlah kita lihat banyak pula kereta dan motorsikal kena tarik, rumah dilelong, pinjam wang dengan along akan berluasa kembali, hutang kad kredit meningkat. Wajarlah semua kementerian sekarang ini mewujudkan model atau contoh dikalangan kakitangan yang mengamalkan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan yang berhemah. Didikan kesedaran berbelanja berhemah perlu disampaikan melalui sesi-sesi ceramah, dialog dan forum di peringkat kementerian dan jabatan. Aktiviti ini boleh dilaksanakan oleh kelab atau pun badan-badan kebajikan di kementerian atau jabatan berkenaan. Bagi diperingkat kelompok komuniti pula, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui kerjasama dengan Persatuan-persatuan Pengguna serta JKKK dan lain-lain NGO perlu mempertingkatkan usaha untuk menyedarkan masyarakat melalui aktiviti ceramah dan majlis-majlis dialog dalam kumpulan masyarakat itu sendiri.
No comments:
Post a Comment