GIMIK PERSATUAN PENIAGA


Persatuan Peniaga dan Persatuan Pengeluar Makanan memberi jaminan harga barangan makanan tidak akan naik berikutan kenaikan harga gula baru-baru ini. Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (CAPs) tidak yakin kenyataan jaminan ini benar harga barangan tidak akan naik. Ini terbukti masih ramai peniaga gerai makanan, restoran, penjaja pasar malam, penjaja gerai Ramadhan yang baru wujud, pengeluar makanan masih tidak menjadi ahli persatuan di negara ini. Menurut mereka, ”itu adalah janji persatuan, kami bukan ahli persatuan” Walaupun mereka ahli persatuan, pengalaman tahun-tahun lalu, mereka tidak menghiraukan kenyataan pemimpin persatuan mereka. Janganlah pemimpin persatuan peniaga dan pengeluar makanan bercakap sekadar gimik nak tunjuk kepada Menteri bahawa mereka tidak mendatangkan masalah kepada pengguna. Bolehkah persatuan peniaga dan pengeluar makanan buktikan tiada kenaikan musim perayaan ini? Apakah langkah telah diambil oleh persatuan untuk mempastikan ahli-ahlinya mematuhi jaminan tersebut? Seramai manakah dari 50,000 ahli tersebut sedar dan komited terhadap jaminan ini?

Pihak KPDNKK khasnya YB.Menteri tidak seharusnya ’bulat-bulat’ percaya dan terpengaruh dengan kenyataan jaminan tersebut. KPDNKK perlu berfikiran waras dan melakukan tindakan susulan dengan persatuan peniaga dan pengeluar makanan supaya persatuan dapat membuktikan ahli-ahlinya tidak menaikkan harga barang. Jika ada kenaikan dilakukan oleh ahlinya, pecat ahli tersebut dari persatuan, bolehkah persatuan berkata begitu?. CAPs mencabar Pemimpin Persatuan Peniaga dan Pengeluar Makanan supaya turun padang pada bulan Ramadhan ini ke setiap negeri dan pelusok supaya dapat pastikan kenaikkan harga barangan makanan tidak naik. CAPs percaya pihak KPDNKK akan dan sedang melakukan pemantauan dan pemeriksaan mingguan, tetapi adalah lebih baik jika pemimpin persatuan peniaga dan pengeluar makanan itu pergi bersama dan buktikan jaminan mereka. Kepada para pengguna, CAPs menyeru supaya jika anda dapati ada kenaikan barangan, simpan resit belian, catat nama dan alamat premis, catat lokasi peniaga dan terus laporkan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) 03-78779000 email: nccc@nccc.org.my. Lebih berkesan lagi, jangan beli barangan tersebut, kita guna kuasa pengguna sebagaimana slogan yang dilaungkan ’ 1 Pengguna 1 Suara” untuk memboikot.

No comments: