Kementerian Kesihatan mengesan lebih 50 produk makanan dan minuman kesihatan tambahan serta ubat-ubatan tradisional mengandungi racun berjadual, termasuk bahan aktif perangsang seks yang turut menggunakan selebriti terkenal untuk mempromosikan produk berkenaan.


Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang amat bimbang dengan keadaan ini berkata, setakat ini amaran dan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk merampas ubat-ubatan dan makanan kesihatan itu tidak langsung memberi kesan. Katanya, bahan aktif perangsang seks seperti sildenafil, tadalafil dan verdanafil yang digunakan untuk rawatan ‘erectile dysfunction’ (mati pucuk) hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen. Ubat yang tidak berdaftar dengan kementerian ini selalunya dicampur dengan racun berjadual yang boleh memberi kesan berbahaya termasuk serangan jantung, strok, pendarahan otak dan kehilangan daya penglihatan dan pendengaran.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses menyemak semula lima akta di bawah perkhidmatan farmasi bagi mengawal pengeluaran produk farmaseutikal dan produk makanan atau minuman yang mempunyai campuran dadah dan bahan beracun.Lima akta itu merangkumi Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (disemak 1989), Akta Racun 1952 (disemak 1989), Akta Jualan Dadah 1952 (disemak 1989), Akta Dadah Berbahaya 1952 (disemak 1980) dan Akta Ubat 1956 (Iklan dan Penjualan) yang disemak pada tahun 1983.

No comments: