Bekalan air kian merosot di Lembah Klang?





SHAH ALAM 28 Julai - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama menangani masalah kemerosotan bekalan air yang semakin membimbangkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Presidennya, Datuk N. Marimuthu berkata, kerjasama tersebut perlu bagi mengelakkan krisis air menjadi semakin kronik daripada yang pernah dialami pada 1998.
Kata beliau, kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan juga perlu mengambil tindakan awal menjaga dan memulihara sumber air bagi memastikan krisis air dapat dielakkan.
"Kita akan menghantar satu memorandum kepada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam masa terdekat bagi meminta langkah awal tersebut dapat dilaksanakan segera.
"Memorandum itu adalah hasil perbincangan meja bulat bersama Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN), Persatuan Pemantau Air Selangor dan Wilayah Persekutuan (S3W) dan Forum Air Selangor (FAM)," kata beliau.

No comments: