MELAWAN MAKANAN RINGAN












Saya masih ingat lagi pada awal 1980-an, semasa saya berkhidmat sepenuh masa di Persatuan Pengguna Pahang (PAC), Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS), Persatuan Pengguna Selangor & Wilayah Persekutuan juga semasa berkhidmat di Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), topik ceramah yang sering saya sampaikan dan mendapat pula perhatian ialah tentang bahaya makanan ringan dan pengaruh iklan. Setiap minggu aktiviti ceramah kesedaran ini sering kami adakan dan diundang oleh penganjur di semua pelosok termasuk di felda-felda, kampung-kampung, sekolah dan seminar-seminar di peringkat daerah dan negeri. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) semenjak 30 tahun yang lampau turut membawa isu ini.
Ketika itu, isu memohon pengharaman iklan makanan ringan di TV tidak mendapat kesan tindakan positif daripada pihak Kementerian Penerangan. Pada tahun 1986, pernah Menteri Penerangan ketika itu Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberi jaminan kepada anggota MBM yang berjumpa beliau di Angkasapuri supaya semua iklan makanan ringan (junk food) diharamkan di televisyen. Namun jaminan itu hingga hari ini masih tidak dilaksanakan secara berkesan kerana pihak Kementerian Penerangan ketika itu merasakan kerugian besar hasil sumbangan syarikat terhadap penyiaran iklan tersebut. Persoalannya sekarang bukanlah masanya untuk membuang masa lagi bagi mendengar alasan pihak pengeluar dan pengilang makanan ringan yang dirasakan mereka akan hilang pendapatan dan sudah tentu mereka akan mengaitkan kesan terhadap penyumbang ekonomi negara dan berkemungkinan akan mengaitkan pemberhentian pekerja sektor industri makanan ringan.

Menteri Kesihatan dan Menteri Penerangan sekarang perlu duduk semeja untuk bertindak semula mengkaji iklan makanan ringan di media elektronik dan akhbar supaya pengharaman iklan ini benar-benar dilaksanakan kerana memikirkan tahap kesihatan 26 juta rakyat Malaysia dan bukannya lagi untuk memikirkan kehilangan perolehan RM100 juta setahun daripada iklan makanan ringan.

Sebanyak 200 jenis makanan segera seperti mi segera, minuman bergas, gula-gula , coklat dan burger dilaporkan menjadi punca pelbagai penyakit kritikal di Malaysia tidak harus dipandang remeh kerana ia boleh dikatakan adalah pembunuh nombor dua selepas dadah. Keselamatan makanan snek atau ringan ini amat diragui. Kajian-kajian yang dibuat oleh organisasi kesihatan dan pergerakan pengguna antarabangsa menunjukkan masih banyak jenis dan jenama makanan segera mengandungi pelbagai bahan yang membahayakan pemakannya. Di negara kita, banyak pewarna berbahaya yang diharamkan oleh kerajaan masih digunakan dalam pengeluaran makanan snek. Pewarna-pewarna berbahaya yang sering digunakan dalam makanan segera termasuklah Blue VRS (disyaki menyebabkan barah, lelah, muntah-muntah dan alergi) Orange GGN (disyaki menyebabkan barah) Ponceau 4R (disyaki menyebabkan barah, bengkak tisu, alergi dan lelah) Amaranth (disyaki menyebabkan barah, lahir cacat dan lahir mati) Green S (disyaki menyebabkan barah). Banyak juga makanan snek mengandungi bahan perasa yang tinggi dan ada juga yang keselamatannya masih dipersoalkan seperti perasa monosodium glutamate (MSG-Ajinomoto) yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Negara kita sekarang ini dilanda “budaya snek”. Ini berlaku kerana kemajuan agresif melalui iklan-iklan dari syarikat-syarikat pengeluar snek dan minuman ringan. Ini juga berlaku kerana para pengguna terlalu sibuk mengejar aktiviti kehidupan seharian tanpa mempedulikan makanan mereka. Kebanyakan mereka telah disogok oleh iklan yang berpendapat lebih cepat atau ringkas makanan berkenaan, maka lebih baik lagi. Ibu bapa pula membiarkan anak-anak mereka dipengaruhi oleh iklan-iklan makanan snek dan minuman ringan sehingga tidak dapat mengawal tabiat makanan mereka.
Kesan negatif makanan snek dan minuman ringan semakin dirasai. Pelbagai penyakit telah dikaitkan dengan makanan dan minuman ringan seperti peningkatan penyakit barah, kencing manis dan kerosakan gigi . Malah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah melaporkan bahawa makanan snek dan minuman ringan menjejaskan kesihatan pengguna terutamanya rakyat negara-negara membangun. UNICEF membuat kesimpulan ini berdasarkan kematian 65,000 kanak-kanak di negara-negara Teluk Parsi yang berumur lima tahun ke bawah pada tahun 1985 akibat kaedah kelahiran anak yang tidak bersih, cirit-birit dan salah khasiat. Negara kita sekarang amat serius mengalami peningkatan kadar penyakit berpunca daripada makanan akibat berleluasanya tabiat suka menikmati makanan dan minuman ringan ini. Oleh itu, sudah sampai masanya bagi kerajaan dan semua anggota Kabinet bertindak bersama bagi menyelesaikan masalah ini.

Saya mencadangkan supaya langkah-langkah berikut diambil perhatian untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan makanan snek dan minuman ringan;
1) Mengharamkan semua bentuk iklan makanan snek dan minuman ringan di media elektronik dan media cetak.
2) Mengharamkan semua taktik jualan memberi hadiah percuma bagi melariskan jualan makanan snek.
3) Mewajibkan maklumat yang lebih lengkap pada label-label makanan snek.
4) Menguatkuasakan peraturan jualan makanan ringan di luar pagar sekolah.
5) Mengawal kilang-kilang yang mengeluarkan makanan snek dengan rapi untuk memastikan kilang-kilang itu mematuhi undang-undang yang digubal bagi melindungi kepentingan pengguna.
6) Mewujudkan piawaian makanan ringan melalui SIRIM dan Jabatan Standards Malaysia (DSM)
7) Mewujudkan dasar piawaian makanan ringan dalam Dasar Makanan Negara.
8) Mewujudkan satu garis panduan pemakanan kebangsaan bagi memastikan rakyat Malaysia bijak membuat pemilihan makanan.
9) KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan serta PBT wujudkan satu koordinasi bagi menguatkuasakan undang-undang makanan dengan lebih berkesan.
10) Mengharamkan pemberian sampel percuma makanan snek dan minuman ringan di sekolah-sekolah serta tadika.
11) Mengharamkan penajaan berupa makanan snek dan minuman ringan di semua majlis, sukan, berupa hadiah di sekolah-sekolah, tadika, IPT serta di semua program komuniti.



Sementara itu, semua pihak harus memainkan peranan menentang gejala makanan ringan ini kerana sudah nyata ia merupakan gejala makanan yang tidak seimbang yang membawa maut.

1 comment:

Unknown said...

Saya cukup bersetuju, sekarang ni makanan ringan yang tak berkhasiat begitu berleluasa dipasaran. Tanpa disedari mcm kita kita nak hapuskan generasi akan datang dgn makanan ringan yg tak berkhasiat ni. Kerajaan mesti lakukan sesuatu utk menghadkan pengiklanan makanan ringan seperti ini.