Saya ingin menarik perhatian terhadap kenyataan YB.Perdana Menteri supaya peranan dan tugas Penggawa dan Penghulu dipertingkatkan bagi mempastikan rakyat menerima penjelasan dan maklumat dari pihak kerajaan. Teguran dan fokus tanggungjawab kerja ini perlu diambil perhatian serius oleh semua Penggawa dan Penghulu supaya slogan Rakyat Didahulukan benar-benar dicapai dan sampai kegolongan sasarannya. Saya mendapati banyak kelemahan Penggawa dan Penghulu yang masih kabur dengan makllumat dan dasar kerajaan serta bidangkuasa yang diperturunkan kepada mereka tidak dilaksanakan secara berkesan. saya mengambil contoh dimana semua Penghulu diberi kuasa dalam hal kegiatan penyelewengan perniagaan seperti peniaga melanggar Akta dan Peraturan Perihal Dagangan, banyak aduan pengguna dan kegiatan penyelewengan berlaku tetapi sebaliknya peranan Penghulu membantu membenterasnya tidak pernah kita dengar dan ada juga Penghulu langsung tidak memantau keadaan penyelewengan berlaku.

Menjelang musim perayaan ini yang mana pengguna telah mula berbelanja dan pengaruh, gimik serta mencari keuntungan lebih oleh peniaga sudah tentu menggalakkan dan kenaikkan harga barangan pasti akan berlaku disebabkan permintaan yang banyak. Dalam hal ini Penghulu harus mempertingkatkan peranannya bersama pegawai KPDNKK turun padang bagi melindungi pengguna. Penghulu juga harus mendidik anak buahnya selaku pengguna supaya jimat berbelanja dan tidak boros.

Penggawa dan Penghulu juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat hak-hak pengguna dan membantu menyelesaikan aduan pengguna . Penggawa dan Penghulu perlu memahami Undang-undang Perlindungan Pengguna serta peranan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia yang boleh membantu pengguna.

Saya berpendapat Pejabat Daerah disetiap daerah boleh dijadikan ruang forum pengguna juga sebagai one stop centre untuk Penggawa dan Penghulu melaksanakan aktiviti kepenggunaan di diperingkat daerah masing-masing.

No comments: